ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu treler yang tersepit di bawah kenderaan dalam kemalangan di KM 448.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Rawang. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu treler yang tersepit di bawah kenderaan dalam kemalangan di KM 448.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Rawang. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Lelaki maut akibat tersepit selepas treler dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer (KM) 448.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.41 pagi.

"Sepasukan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat sebuah treler terbabas dan melanggar pembahagi jalan di bahagian tengah sebelum terbalik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, kemalangan menyebabkan pemandu treler terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun tersepit di bahagian bawah kenderaan terbabit.

"Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 7:47 AM