AMBULANS yang terbabit kemalangan di lampu isyarat Plaza Tol Utara, Jalan Langgar. FOTO Ihsan Bomba.
AMBULANS yang terbabit kemalangan di lampu isyarat Plaza Tol Utara, Jalan Langgar. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Ambulans yang membawa pesakit dipercayai positif Covid-19 terbalik selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat berdekatan Plaza Tol Utara, Jalan Langgar, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 5.55 petang.

Beliau berkata, anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi pada 5.57 petang.

"Ambulans itu membawa lima individu termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang pesakit disyaki positif Covid-19.

"Terdapat dua mangsa dalam Proton Exora, yang mana seorang lelaki berusia 40-an cedera ringan di dada dan mangsa wanita berusia 30-an cedera ringan di bahu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan pesakit disyaki positif Covid-19 berkenaan.

Beliau berkata, operasi disertai 10 anggota dan dua jentera serta motosikal RIM dari BBP Alor Setar.

"Tindakan komander operasi memberi rawatan awal kepada pemandu dan penumpang MPV serta menghantar mangsa terbabit Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

"Kakitangan KKM di dalam ambulans hanya mengalami cedera ringan dan tiada mangsa dilaporkan tersepit, dan operasi tamat pada 6.46 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Bagaimanapun katanya, maklumat lanjut berhubung kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian.

Dalam pada itu Bernama melaporkan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ambulans itu yang turut dinaiki empat petugas KKM sedang dalam perjalanan membawa pesakit dari Baling ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini bagi rawatan Covid-19.

"Ambulans dinaiki seorang doktor dan seorang jururawat dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu dan pembantu perubatan mengalami kecederaan ringan.

"Pesakit Covid-19 itu pula iaitu seorang wanita juga mengalami kecederaan ringan.

"Dua mangsa yang menaiki sebuah lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu turut cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:41 PM