MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO Norsyazwani Nasri
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Sarikei: Penunggang motosikal yang dipercayai membuat pusingan U secara mengejut maut dilanggar van di Batu 14, Jalan Kelupu-Julau-Durin, Julau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Collin Baring Empam, 25, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, semasa kejadian, pemandu van dalam perjalanan ke pekan Bintangor.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba membuat pusingan U.

"Pemandu van tidak dapat mengelak dan melanggar motosikal kerana jarak yang dekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan namun penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa terbakar.

"Mayat dibawa ke hospital Sarikei untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 8:58 PM