GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norsyazwani Nasri


Sarikei: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas disengat tebuan ketika bersama ibunya di kebun lada berhampiran rumah Saba Nunggang, Pakan, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Patricia Sanggau disengat tebuan di bawah telinga sebelah kiri.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, ibu mangsa kemudian membawa anaknya yang menangis kesakitan balik ke rumah panjang.

"Ibu mangsa cuba menghubungi suami yang sedang berkerja di kebun namun gagal dan terpaksa menunggu suaminya pulang kerana tiada kenderaan untuk membawa anak ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

"Tambahan ibu mangsa beranggapan sengatan itu tidak berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada jam 8.30 malam, mangsa dibawa ke Klinik Pakan untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa didapati dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sewaktu tiba di klinik," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut doktor mendapati bibir mangsa bengkak sedikit disebabkan alahan bisa sengatan.

"Tiada kesan kecederaan lain pada badan mangsa. Pada jam 11.40 malam doktor mengesahkan kematian mangsa.

"Temubual dengan saudara mara dan penduduk rumah panjang, ibu bapa mangsa didapati menjaga anak mereka dengan baik dan mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit kronik," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:49 PM