WARGA emas yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti sabung ayam. Polis turut merampas empat ekor ayam (kanan). FOTO Norsyazwani Nasri.
WARGA emas yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti sabung ayam. Polis turut merampas empat ekor ayam (kanan). FOTO Norsyazwani Nasri.
Norsyazwani Nasri


Sarikei: Empat lelaki warga emas ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam di kawasan lapang belakang Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih Pakan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Julau dan Balai Polis Pakan menyerbu lokasi sabung ayam itu dalam Op Dadu jam 2.15 petang.

"Ketika serbuan dilakukan semua kaki sabung bertempiaran lari ke kawasan hutan berhampiran selepas menyedari kehadiran polis.

"Namun empat lelaki warga emas berusia 70 hingga 74 tahun gagal meloloskan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil serbuan turut berjaya merampas lima ekor ayam hidup, satu unit alat penimbang, satu keping kotak tertera

jadual pertaruhan, sebilah taji ayam dan wang tunai berjumlah RM39.

"Tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962.

"Jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 5(3) ordinan yang sama yang boleh dipenjara tiga bulan atau denda RM500," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana - mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam terutama di kawasan Julau dan Pakan.

"Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah kepada polis,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 7:01 PM