Tiga lelaki yang ditahan kerana menjalankan aktiviti sabung ayam di kawasan kebun kelapa sawit, Jalan Sugai Pakan di sini, petang semalam. FOTO MELVIN JONI
Tiga lelaki yang ditahan kerana menjalankan aktiviti sabung ayam di kawasan kebun kelapa sawit, Jalan Sugai Pakan di sini, petang semalam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sarikei: Warga emas antara tiga lelaki ditahan ketika sedang leka menyabung ayam di kawasan kebun kelapa sawit, Jalan Sugai Pakan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superitendan Andam Sulin Brayun, berkata kesemuanya yang berusia dalam lingkungan 35 hingga 75 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada jam 2 petang.

"Pasukan serbuan juga berjaya merampas lima ayam sabung, alat penimbang, keratan kotak tertulis angka dan taji," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Julau dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiyaan Binatang 1963.

Andam berkata kesemua suspek juga akan dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melakukan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 dan boleh didenda RM1,500 seorang.

Katanya aktiviti seperti itu bukan sahaja boleh menyebabkan orang ramai berkumpul bahkan mendatangkan risiko penyebaran wabak Covid-19.

"IPD Julau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti sabung ayam dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 2:47 PM