Senapang, peluru serta peralatan yang dirampas daripada suspek yang menembak seorang lelaki ketika berburu di kawasan hutan Nanga Dayu, Pakan. FOTO MELVIN JONI
Senapang, peluru serta peralatan yang dirampas daripada suspek yang menembak seorang lelaki ketika berburu di kawasan hutan Nanga Dayu, Pakan. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sarikei: Menyangka burung hutan, seorang pemburu melepaskan tembakan di kawasan hutan Nanga Dayu yang bersempadan antara RH Uding, Ulu Budu, Saratok dan RH Anthony, Sungai Merah di Dayu Pakan di sini.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki yang baru hendak berburu di lokasi sama dan mangsa meninggal dunia serta merta.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superitendan Andam Sulin berkata, kejadian dilapor berlaku kira-kira 4 petang semalam dengan mangsa dikenali Nissa Jamu, 29.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya bergerak dari RH Anthony dan mereka berehat seketika di kawasan itu sebelum memulakan pemburuan.

"Suspek pula adalah lelaki 45 tahun yang memburu sendirian dari arah Ulu Budu, Saratok. Apabila tiba di lokasi, dia didakwa melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka seekor burung.

"Selepas tembakan itu, suspek ke tempat mangsa dan mendapati dia telah tersalah tembak. Dia didakwa meminta maaf kepada dua rakan mangsa dan pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Andam berkata, bagaimanapun suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Julau dan ditahan kira-kira 2 pagi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati lebih 15 kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 4:53 PM