GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tindakan proaktif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memantau dan menilai platform penghantaran makanan yang melanggar Akta Persaingan 2010 akan menjamin kelangsungan kerjaya, perniagaan dan hidup semua pihak.

Ia merangkumi syarikat penyediaan makanan, pengusaha platform penghantaran dan warga perkhidmatan penghantar makanan atau P-Hailing di seluruh negara.

Biro Keusahawanan Angkatan Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Adi Farhan berkata, ia juga selari dengan aduan masyarakat baru-baru ini mengenai kualiti perkhidmatan, pengenaan caj komisen yang tinggi selain harga makanan dan minuman yang dikenakan syarikat penghantaran makanan di atas platform tertentu.

Katanya, pihaknya mengambil berat keseriusan isu berkenaan dan sedang melihat situasi itu daripada semua perspektif terutama mengenai perlakuan syarikat penghantaran makanan terhadap pemain industri makanan dan minuman, penghantar dan pengguna, sama ada isu itu menimbulkan isu persaingan atau tidak.

"Pada masa sama, kami berterima kasih atas keprihatinan dan langkah terbaik yang diambil oleh Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membawa permasalahan berkenaan terus kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Julai lalu.

"Beliau menyampaikan segala saranan dan cadangan bagi mengatasi masalah yang disuarakan oleh penghantar p-hailing daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia yang mewakili suara 80,000 anak muda dalam sektor ekonomi gig ini.

"Kami berpendapat dalam keadaan semasa ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini, satu penyelesaian yang holistik dalam situasi menang-menang untuk semua pihak amat penting dalam membantu Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Isnin lalu, MyCC mengadakan sesi libat urus secara aktif dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berikutan aduan awam mengenai syarikat platform perkhidmatan penghantaran makanan mengenakan caj komisen dan harga makanan serta minuman yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, pihaknya itu juga memantau dan menilai situasi sama ada tindakan beberapa syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu bertentangan dengan Akta Persaingan 2010 atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 10:51 PM