Gambar fail, Rosol Wahid. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Rosol Wahid. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas untuk peniaga dan pengguna mengemukakan sebarang isu serta masalah berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, mereka boleh mengemukakan aduan melalui e-mel kepada [email protected] bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, KPDNHEP serius dalam memastikan pemain industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.

"Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.

"Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan sebuah syarikat p-hailing sepanjang tahun lalu, manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

"Pada 2020 KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai sebuah lagi syarikat dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini," katanya.

Beliau berkata susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-hailing, kementerian mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua pemain utama industri itu bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.

"Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat (p-hailing) yang hendak menurunkan kadar komisen mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:13 PM