GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar P-Hailing (Penghantar) Malaysia berharap pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak pengendali p-hailing (PHO) minggu depan dapat menyelesaikan isu kadar upah pengambilan dan penghantaran pesanan yang pada masa ini rendah.

Presiden Penghantar Malaysia, Zulhelmi Mansor berkata, pihaknya mencadangkan beberapa perkara termasuk keperluan menilai beberapa skop seperti kos pekerjaan, masa tugasan, risiko pekerjaan dan juga situasi ekonomi semasa.

Beliau berkata, pihak kerajaan juga boleh mencadangkan atau menasihatkan pihak PHO supaya menurunkan kadar komisyen yang ditetapkan kepada pengusaha makanan, vendor dan merchant (peniaga) berkaitan.

"Ia bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan upah penghantaran. Ini adalah kerana pengusaha makanan, vendor dan merchant akan menaikkan harga makanan mengikut kepada kadar komisyen yang ditetapkan oleh pihak PHO.

"Alhamdullilah, sedia maklum, kini sudah ditubuhkan Majlis Komuniti Gig Malaysia seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mana kami juga, Penghantar adalah ahlinya.

"Majlis Komuniti Gig adalah untuk bersama pihak kerajaan memastikan apa jua acuan dan bentuk pematuhan dalam memperbaiki aspek kebajikan kita, suaranya mewakili kita semua," katanya.

Beliau berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) diumumkan Ahmad Zahid pada minggu lalu juga adalah aspirasi daripada akar umbi.

Menurutnya, SEGiM adalah satu bentuk badan kawal selia bagi pihak kerajaan mengawal selia keseluruhan rantaian eko sistem industri Gig di Malaysia termasuk sektor p-hailing dan e-hailing yang mempunyai pelbagai permasalahan isu panjang berlarutan sehinggalah kini.

"Alhamdullilah, mudah-mudahan urusan kita sentiasa dipermudahkan. Kini, kepimpinan utama negara PM dan TPM sudah pun memahami permasalahan sebenar kita dan kami yakin akan ada tindakan selanjutnya," katanya.

Semalam, Perdana Menteri meminta tempoh seminggu untuk beliau bertemu dengan semua syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah.

Anwar dilaporkan berkata, beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada syarikat berkenaan berhubung situasi itu yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 1:56 PM