GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) mengadakan sesi mengenai peluang pekerjaan dalam perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal atau p-hailing pada Khamis dan Jumaat lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Teraju berkata sesi yang diadakan secara dalam talian itu disertai 43 kumpulan pemegang taruh yang mewakili pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi terpilih, pengendali platform, operator, vendor selain Persatuan Penghantar p-Hailing Malaysia.

Sesi yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman itu bertujuan mengenal pasti penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit bagi meningkatkan kemampanan serta kesejahteraan pemandu perkhidmatan p-hailing tersebut.

Enam perkara yang diberi tumpuan adalah aspek etika dan tingkah laku, undang-undang, keselamatan, sistem aplikasi, pelanggan dan vendor serta operator.

"Teraju selaku pemboleh cara strategik pembangunan sosio ekonomi Bumiputera, nekad serta teguh dalam aspirasinya memacu pemerkasaan pembangunan ekonomi gig bagi meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam rantaian nilai yang lebih tinggi," katanya.

Maklumat dapatan kajian Teraju menunjukkan sekitar 70,000 penghantar makanan dengan majoritinya 40,000 orang (57 peratus) adalah tertumpu di kawasan Lembah Klang.

Kajian itu turut mendapati sebanyak 93.8 peratus mereka terbabit adalah golongan Bumiputera dan 80.1 peratus adalah kalangan belia berusia sekitar 8-30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 8:27 PM