ANTARA rokok seludup bernilai 252,747 ditemui dalam bonet belakang kenderaan dan sekitar premis kediaman di Jalan Salleh, Muar hasil penahanan seorang suspek lelaki.
ANTARA rokok seludup bernilai 252,747 ditemui dalam bonet belakang kenderaan dan sekitar premis kediaman di Jalan Salleh, Muar hasil penahanan seorang suspek lelaki.
Ahmad Ismail


PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok susulan serbuan menerusi Ops Benteng Covid di sebuah rumah di Taman Ria Permai, Jalan Salleh, Muar, semalam.

Dalam serbuan pada 3.30 petang itu, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan dan 1,075 kotak rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM252,747 dirampas.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, operasi digerakkan selepas maklumat awam dan risikan yang dilakukan anggotanya.

"Dalam serbuan itu, pelbagai jenis rokok seludup ditemui di dalam but kereta tempat duduk penumpang dua kereta di sekitar premis kediaman itu.

"Dua kenderaan itu yang dipercayai digunakan untuk pengedaran rokok itu kegunaan di pasaran tempatan dan sekitar Johor turut disita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dimin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan suspek serta barang rampasan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Muar untuk tindakan lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan itu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengekang penyeludupan rokok seludup yang menyebabkan kerugian kutipan cukai selain menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 9:30 AM