Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bagi memberi rasa tenang ketika mendapatkan suntikan vaksin mendorong One Hope Charity and Welfare membuka pusat pemberian vaksin (PPV) berkonsepkan dalam taman.

Ia yang akan beroperasi di Autocity, Juru, di sini, mulai esok turut menempatkan kira-kira 70 sukarelawan terdiri pasukan perubatan dan sokongan yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya mendapat idea membuka PPV dalam taman selepas menyedari keadaan semasa orang ramai terpaksa berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

"Kita faham sekarang ramai orang tidak keluar ke mana-mana kerana ingin patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Keadaan itu menyebabkan ada yang rasa tertekan kerana terlalu lama duduk di rumah maka kita mendapat idea untuk membuka PPV dalam taman ini.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare (One Hope), Datuk Chua Sui Hau (kanan) membawa media meninjau di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 (PPV) One Hope Charity, Autocity Juru di sini. FOTO DANIAL SAAD
Pengerusi One Hope Charity & Welfare (One Hope), Datuk Chua Sui Hau (kanan) membawa media meninjau di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 (PPV) One Hope Charity, Autocity Juru di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Kaedah ini mematuhi SOP ditetapkan, malah individu yang menerima suntikan di PPV ini akan dapat menikmati keindahan panorama sekali gus mengurangkan rasa takut dan gelisah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa media melihat PPV terbabit bersama Penasihat NGO itu Datuk Seri R Arunasalam.

Sui Hau berkata, pihaknya memperuntukkan RM1.5 juta bagi tujuan pengoperasian PPV berkenaan yang akan memberi suntikan imunisasi sepanjang tempoh tiga bulan.

"Selama ini kita menjalankan kerja kebajikan dengan membantu orang memerlukan, membeli peralatan perubatan untuk klinik, hospital serta menyokong PPV awam yang lain.

"Tetapi kali ini kita mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang membantu negara mencapai sasaran imuniti kelompok," katanya.

Katanya, PPV itu akan beroperasi setiap hari dan akan memberi suntikan 360 dos sehari sebelum dipertingkatkan kepada 1,000 dos sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:07 PM