Chua Sui Hau (kiri) menyerahkan pelbagai peralatan perubatan kepadaSelahuddeen. FOTO Ihsan One Hope Charity and Welfare
Chua Sui Hau (kiri) menyerahkan pelbagai peralatan perubatan kepadaSelahuddeen. FOTO Ihsan One Hope Charity and Welfare
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Usaha memerangi Covid-19 masih diteruskan pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope) apabila menyumbang pelbagai peralatan perubatan bernilai lebih RM300,000.

Pelbagai peralatan termasuk 100 katil unit rawatan rapi (ICU), alat bantuan pernafasan, alat pemeriksaan jantung dan alat pemanas bagi kanak-kanak disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) itu kepada beberapa hospital awam termasuk hospital medan dibangunkan di Pulau Pinang.

Pengerusi One Hope, Datuk Chua Sui Hau berkata, sumbangan itu sebagai tanda prihatin pihaknya dalam usaha memampankan sistem perubatan di negeri ini.

"Peralatan ini diagihkan kepada hospital awam antaranya Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Kepala Batas (HKB), Hospital Seberang Jaya (HSJ), Hospital Balik Pulau (HBP) dan dua Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HBM) terletak di HPP dan HKB.

"Selain peralatan perubatan, bekalan bukan perubatan lain seperti khemah, kanopi, lampin pakai buang dewasa turut disumbangkan dalam pertempuran melawan wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Chua menyampaikan semua peralatan perubatan itu kepada Pakar Kesihatan Awam negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz.

Pihaknya turut membekalkan khemah dan peralatan lain seperti kerusi, meja serta penyejuk sementara kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk kegunaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:10 PM