REMAJA yang ditahan kerana berlumba. FOTO Ihsan Polis.
REMAJA yang ditahan kerana berlumba. FOTO Ihsan Polis.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tindakan empat remaja lelaki menjadikan Jalan Lahar Kepar, Penaga, di sini sebagai litar berlumba membawa padah apabila mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan, semalam.

Ketika operasi, polis mengesan empat motosikal yang ditunggangi sekumpulan remaja dalam keadaan merbahaya pada 6.50 petang sebelum membuat tangkapan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka dipercayai berlumba secara berasingan dan membuat aksi 'wheelie' bermula dari arah Penaga menghala Lahar Kepar sebanyak satu pusingan.

"Berikutan tindakan bahaya keempat-empat remaja itu polis kemudian membuat tangkapan di tepi jalan terbabit untuk siasatan selanjutnya.

"Hasil pemeriksaan, empat remaja itu terdiri daripada tiga pelajar berusia 13 hingga 16 tahun manakala seorang lagi berusia 14 tahun tidak bersekolah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy mengingatkan orang awam supaya tidak sesekali menjadikan jalan raya sebagai litar lumba kerana boleh ia bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri namun turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Katanya, empat remaja itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 11:15 AM