SEKUMPULAN remaja diarahkan menolak motosikal selepas merempit di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas. FOTO Ihsan PDRM.
SEKUMPULAN remaja diarahkan menolak motosikal selepas merempit di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas. FOTO Ihsan PDRM.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tindakan sekumpulan remaja lelaki termasuk pelajar sekolah yang menunggang motosikal dengan pelbagai aksi berbahaya mengundang padah apabila ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Lahar Kepar, di sini, petang semalam.

Operasi jam 5 petang itu diadakan susulan polis menerima aduan dari orang awam berhubung kegiatan mat rempit yang semakin berleluasa di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata kumpulan remaja terdiri daripada 11 individu itu didapati berlumba sesama sendiri dan berkumpul di jalan terbabit sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Oleh itu, polis mengambil tindakan menahan kesemua mereka yang berusia 14 hingga 18 tahun untuk tindakan selanjutnya.

"Polis turut kesemua motosikal yang terbabit dan mengeluarkan 35 saman atas pelbagai kesalahan trafik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, kesemua remaja yang ditahan itu turut diarahkan menolak motosikal itu ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dengan jarak hampir enam kilometer (km).

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat seperti merempit.

" Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti mat rempit boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5759122," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 4:07 PM