MURID tahun enam yang ditahan polis selepas didapati menjadikan Jalan Tok Keramat, Padang Tembak, Tasek Gelugor sebagai litar berlumba. FOTO ihsan polis
MURID tahun enam yang ditahan polis selepas didapati menjadikan Jalan Tok Keramat, Padang Tembak, Tasek Gelugor sebagai litar berlumba. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Murid tahun enam sebuah sekolah di sini antara tiga individu yang ditahan polis petang semalam selepas didapati menjadikan Jalan Tok Keramat, Padang Tembak sebagai litar berlumba.

Dalam Ops Samseng Jalanan pada jam 6.30 petang itu, pasukan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mengesan dua motosikal yang ditunggang tiga remaja lelaki secara merbahaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan mereka menyalahi undang-undang selain mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

"Murid tahun enam itu menunggang motosikal dengan rakannya berusia 13 tahun membonceng. Mereka membuat aksi 'wheelie' bermula dari Jalan Tok Keramat ke arah Taman Cempedak.

"Seorang lagi rakan mereka berusia 13 tahun turut sama melakukan aksi bahaya. Oleh itu, ketiga-tiga mereka ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawal pergerakan anak-anak dan tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran menunggang motosikal tanpa lesen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 1:11 PM