POLIS menahan enam individu termasuk tiga pelajar sekolah yang didapati berlumba haram ketika mengadakan Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB). FOTO ihsan PDRM
POLIS menahan enam individu termasuk tiga pelajar sekolah yang didapati berlumba haram ketika mengadakan Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB). FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tiga pelajar sekolah antara enam ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) semalam.

Dalam operasi bermula jam 5 petang hingga 8 malam itu, polis mengesan enam motosikal ditunggang enam individu sedang bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi berbahaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kumpulan itu didapati menunggang motosikal bermula dari tol Bagan Ajam menghala Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

"Tindakan mereka yang berbahaya itu menyebabkan polis mengintip pergerakan sebelum membuat tangkapan.

"Lima individu ditahan di lorong motosikal berhampiran tol manakala seorang lagi yang cuba melarikan diri ditahan di kawasan Pantai Bersih tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, tiga tangkapan berusia 16 tahun dan masih bersekolah manakala tiga lagi berusia 17 hingga 19 tahun sudah bekerja.

Noorzainy berkata, polis akan terus membanteras kegiatan lumba haram yang sering menjadikan LLB sebagai litar berlumba dari semasa ke semasa.

"Polis menyeru ibu bapa memantau pergerakan anak-anak dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan mereka menggunakan motosikal tanpa lesen memandu yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 12:31 PM