DUA pelajar sekolah menengah ditahan polis selepas terbabit dalam kegiatan samseng jalanan di Jalan Lahar Kepar di Penaga, Kepala Batas. FOTO ihsan PDRM
DUA pelajar sekolah menengah ditahan polis selepas terbabit dalam kegiatan samseng jalanan di Jalan Lahar Kepar di Penaga, Kepala Batas. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Keseronokan dua pelajar menaiki sebuah motosikal sambil melakukan aksi 'wheelie' berakhir selepas mereka ditahan di Jalan Lahar Kepar, Penaga, di sini, semalam.

Penahanan mereka dibuat anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dalam Op Samseng Jalanan bermula 6 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi itu polis mengesan kegiatan dua pelajar yang didapati menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

"Penunggang motosikal berusia 16 tahun yang dibonceng rakannya berusia 14 tahun didapati membuat aksi wheelie bermula dari Jalan Lahar Kepar ke Lahar Ikan Mati arah Penaga dalam keadaan berbahaya.

"Berikutan itu, kedua-dua remaja itu ditahan di tepi jalan sebaik mereka berpatah semula," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya mengawal tingkah laku anak masing-masing dengan tidak sewenang-wenangnya memberi mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 2:39 PM