Zaid Salim

Dungun: Polis menutup 12 laluan 'tikus' selain melaksanakan lima sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal pergerakan keluar masuk di 10 lokaliti dalam mukim Kuala Dungun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, 10 lokaliti terbabit adalah Kampung Sungai Buaya, Lembah, Tanah Lot, Nibong, Padang Jambu, Bukit Chatak Tengah, Bijangga, Molek, Sungai Udang dan Sungai Penaga di sini, yang ditutup selama 14 hari bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, laluan yang ditutup adalah persimpangan lampu isyarat TM Point, Jalan Sulaiman, Jalan Dewan, Jalan Berek Kastam, lorong bersebelahan tanah perkuburan berek kastam, Jalan Jambu berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dungun.

Laluan lain adalah Jalan Merbuk, Lorong Taman Jejawi, Lorong SK Pusat, Jalan Nibong Stesen, Bukit Chatak dan Bukit Tebuk di sini.

"Beberapa laluan itu ditutup menggunakan penghadang konkrit bagi mengelak dialih oleh pihak tidak bertanggungjawab.

ROHAIMI (dua kanan), melakukan pemeriksaan kenderaan keluar masuk ketika meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Nibong yang diadakan susulan PKPD di 10 lokaliti Salam Mukim Kuala Dungun. FOTO Zaid Salim
ROHAIMI (dua kanan), melakukan pemeriksaan kenderaan keluar masuk ketika meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Nibong yang diadakan susulan PKPD di 10 lokaliti Salam Mukim Kuala Dungun. FOTO Zaid Salim

"Manakala bagi SJR pula, lima sekatan dibuat iaitu di simpang tiga Jalan Pantai Sura menghala ke Kuala Dungun, Jalan Bijangga (sebelum jambatan ke Kampung Seberang Pintasan), Jalan Nibong Bawah di Kampung Molek, Jalan Ustaz Omar Shukri (simpang empat surau ke Kampung Bukit Chatak) dan Jalan Nibong Bawah berhampiran Surau Ashabul Kahfi di sini," katanya tadi.

Beliau menasihatkan masyarakat dalam kawasan PKPD mematuhi setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkenaan.

"Kita tidak mahu ada penduduk yang cuba mencuri keluar dari kawasan PKPD kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang lebih buruk sekiranya berlaku penularan Covid-19 di lokaliti lain," katanya.

Beliau berkata, seramai 40 anggota polis ditugaskan 24 jam di lima SJR dan rondaan unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) bagi memastikan penduduk mematuhi SOP," katanya.

PKPD di 10 lokaliti di Mukim Kuala Dungun itu membabitkan 13,974 penduduk daripada 2,898 rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 5:43 PM