GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lima lokaliti di Sabah, Kelantan dan Sarawak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu, mulai Rabu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein Hussein berkata, PKPD di Sabah membabitkan dua lokaliti di Beaufort, iaitu di Kampung Selagon dan Kampung Binsulok.

"PKPD turut bakal dilaksanakan di dua kampung di Kelantan, iaitu Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang, Tumpat dan Kampung Tok Sadang, Mukim Badang, Kota Bharu.

"Di Sarawak, PKPD akan dilaksanakan di kuarters pekerja Ladang Palmlyn, Mukah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PKPD di lima lokaliti itu akan dilaksanakan bermula Rabu ini hingga 17 Ogos depan dan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti yang dimumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin berkata, kerajaan hari ini, memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKPD 10 lokaliti di Mukim Kuala Dungun, Dungun dan dua lokaliti di Mukim Bandi, Kemaman, Terengganu yang sepatutnya tamat esok.

"Pelanjutan tempoh PKPD itu meliputi Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak, Kampung Molek, Bijangga, Sungai Udang dan Sungai Penaga di Dungun, serta Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 di Kemaman.

"Kerajaan turut memutuskan untuk melanjutkan PKPD di Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kulat di Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang dan juga PKPD Kampung Pituru Kinarut, Papar, Sabah," katanya.

Hishammuddin berkata, tempoh PKPD 10 lokaliti di Dungun dilanjutkan bermula Rabu ini hingga 16 Ogos depan, manakala tempoh PKPD lima lokaliti di Kemaman, Raub dan Papar dilanjutkan bermula Rabu ini hingga 17 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:03 PM