GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Selangor akan menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR) di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, penambahan kawalan SJR itu dibuat mengikut keperluan setiap mukim PKPD bagi mengawal laluan keluar dan masuk.

"Amat mustahil untuk polis melaksanakan kaedah sama dilakukan di beberapa lokaliti PKPD yang lebih kecil seperti sebelum ini.

"PKPD di lokaliti mudah dikawal melalui pemasangan kawat berduri dan tembok batu. Namun PKPD yang diumumkan semalam membabitkan kawasan yang lebih besar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasukan pematuhan juga akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan lebih tegas terutama di kawasan tumpuan ramai.

Katanya, ia bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PKPD di Selangor membabitkan daerah Petaling yang merangkumi Mukim Petaling, Damansara, Sungai Buloh dan Bukit Raja; daerah Hulu Langat bagi Mukim Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang dan Hulu Langat.

Daerah Sepang membabitkan Dengkil, Labu dan Sepang; manakala daerah Gombak (Mukim Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang dan Kuang); sementara daerah Kuala Langat (Mukim Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), dan Teluk Panglima Garang).

Termasuk dalam Kuala Langat ialah Mukim Morib, Bandar, Jugra dan Mukim Batu; selain daerah Klang membabitkan Mukim Kapar dan Klang; Daerah Kuala Selangor (Mukim Ijok, Bestari Jaya dan Jeram); dan Hulu Selangor (Mukim Serendah, Rasa, Ulu Yam dan Batang Kali).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 6:22 PM