PETUGAS menumbangkan lembu yang akan dikorbankan dengan mematuhi SOP ketika tinjauan sambutan Aidiladha di Masjid An-Naim Jalan Kebun Seksyen 30, Shah Alam. FOTO Bernama
PETUGAS menumbangkan lembu yang akan dikorbankan dengan mematuhi SOP ketika tinjauan sambutan Aidiladha di Masjid An-Naim Jalan Kebun Seksyen 30, Shah Alam. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Proses penyembelihan untuk ibadah korban di beberapa rumah sembelihan di Selangor hari ini dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan pihak berwajib.

Dijalankan secara berpusat di rumah sembelihan yang dibenarkan, ia lancar tanpa sebarang masalah dengan pematuhan SOP Covid-19.

Pemegang lesen sembelihan dari HS Nada Sdn Bhd di Kuang Selangor, Mohd Nazmi Md Hassan

berkata, pihaknya diberi kebenaran untuk menyembelih 200 lembu dalam tempoh empat hari.

Katanya, segala urusan di rumah sembelihan adalah dipantau petugas daripada Jabatan Veterinar Malaysia (DVS) bagi memastikan segala aspek dipatuhi sebaik mungkin.

"Alhamdulillah, semuanya lancar untuk hari ini. InsyaAllah kita akan lakukan yang terbaik dengan mengikut SOP.

"Hari ini seramai lebih 30 petugas melakukan sembelihan dan proses daging korban dengan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.

Sementara itu pemilik AR Meats Corporations Sdn Bhd di Rantau Panjang Klang, Abdul Razak Ramlan berkata, rumah sembelihan dikendalikannya menjalankan sembelihan sebanyak 20 lembu hari ini.

Katanya, petugas DVS memantau proses sembelihan sehingga selesai untuk memastikan pematuhan SOP.

"Sejak lebih 40 tahun terbabit dalam industri ini, sudah tentu saya akan pastikan segalanya dipatuhi sebaik mungkin demi kebaikan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 1:30 PM