FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pelaksanaan ibadah korban di surau dan masjid di Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan beberapa ketetapan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, proses penyembelihan binatang korban, lapah, potong dan pembungkusan daging korban hanya akan dilaksanakan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut penyelarasan Jawi melalui pejabat Pentadbiran Zon.

Katanya, pengagihan dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin berdasarkan senarai nama yang ditetapkan, petugas barisan hadapan dan golongan sasaran.

Katanya, pihaknya menjunjung titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah berhubung pelaksanaan ibadah korban di Wilayah-Wilayah Persekutuan tahun ini.

"Pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang selain masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jawi dan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Had kapasiti sembelihan korban tidak melebihi lima ekor sehari dan bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Ajib berkata, semua kebenaran itu adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan demi memastikan ibadah korban dapat dihayati dan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 4:28 PM