Hayati Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


AKTIVITI ibadah korban sempena Aidiladha yang disambut pada Julai ini, dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu hanya bagi Wilayah Persekutuan manakala negeri lain tertakluk kepada kebenaran pihak jabatan agama negeri masing-masing.

Menurutnya, ibadah korban hanya boleh diadakan di masjid, surau dan kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan.

"Selain dari tiga lokasi itu, sebanyak 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan 31 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh JPV dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan.

"Namun kita menggalakkan ibadah korban dilakukan di pusat sembelihan kerana mudah untuk mengawal dari segi penjarakan sosial. Kita cuma perlu ambil daging dan edarkan kepada penerima," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan SOP lengkap ibadah korban dan jika negeri lain membenarkan aktiviti itu diadakan, maka SOP itu boleh dijadikan rujukan.

Beliau berkata, antara lain SOP yang perlu dipatuhi adalah menyediakan kaunter pemeriksaan suhu dan merekod kehadiran jemaah atau petugas di pintu masuk.

Selain itu, katanya, memastikan jemaah sihat dan tidak bergejala serta kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

Beliau berkata, penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

"Kapasiti kehadiran petugas dihadkan tidak melebihi 30 orang bagi menguruskan seekor lembu. Pihak penganjur hendaklah memastikan bilangan korban adalah bersesuaian dengan keupayaan bilangan petugas dilantik.

"Proses melapah dan keratan pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat sesuai dan lapang," katanya.

Katanya, proses sembelihan digalakkan untuk menggunakan peralatan dan sistem moden dalam sembelihan seperti sangkar sembelihan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 3:15 PM