GAMBAR Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang didakwa melanggar SOP yang tular hari ini. FOTO ihsan Pembaca
GAMBAR Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang didakwa melanggar SOP yang tular hari ini. FOTO ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyelar tindakan laman Facebook rasmi 'OPS Johor' yang menyiarkan gambar beliau bersama keluarga dengan menyatakan mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Rashid berkata, laman Facebook rasmi 'OPS Johor' milik media sebuah parti politik di negeri Johor itu, sengaja mahu menimbulkan kemarahan rakyat terhadap dirinya.

"Saya ingin menjelaskan, gambar berkenaan adalah gambar saya bersama isteri dan anak sedang makan semeja dalam rumah inap desa yang dikatakan melanggar SOP.

"Saya bersama isteri, Datin Azizah Haron dan anak bongsu saya sedang makan semeja sementara menunggu sesi sembelihan lembu korban yang berlangsung di Pusat Penyembelihan Lembu di Rengit, Batu Pahat mengikut SOP ditetapkan kerajaan negeri Johor," katanya tadi.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, dia mengaku lokasi berkenaan berada di dalam kawasan parlimennya, manakala sesi sembelihan yang dilaksanakan adalah pada jam 3 pagi Selasa lalu.

"Selain menyumbang lembu, saya berhasrat mahu melakukan proses penyembelihan itu sendiri.

"Mengikut jadual penyembelihan yang ditetapkan pada jam 3 pagi itu, saya dan keluarga menempah rumah inap desa yang berdekatan dengan lokasi pusat penyembelihan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihak polis sudah membuka kertas siasatan susulan kejadian tular gambar seorang ahli parlimen langgar SOP.

"Gambar yang tular pada hari ini (semalam) memaparkan Ahli Parlimen Batu Pahat sedang makan bersama dua orang perempuan di sebuah ladang pertanian di daerah Batu Pahat.

"Dalam gambar berasingan juga mendapati ahli parlimen berkenaan sedang bergambar dengan seorang lelaki dan dua orang perempuan tanpa memakai pelitup separuh muka dan tiada penjarakan sosial," katanya.

Ismail berkata, pihak polis akan memanggil ahli parlimen terbabit bagi membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:41 PM