GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Penternak lembu di Raub, Pahang mendakwa kerugian lebih RM60,000 selepas beberapa masjid di Lembah Klang membatalkan tempahan lembu untuk sambutan Aidiladha.

Ini kerana, beberapa masjid yang sebelum ini sudah menempah lembu untuk ibadah korban, terpaksa membatalkan tempahan susulan ketetapan baharu Prosedur Operasi Standard (SOP) akibat Covid-19.

Penternak dari Kampung Sengkela, Raub, Johari Kassim, 39, berkata, sebelum ini dia sudah menerima tempahan daripada masjid di ibu negara, namun dimaklumkan ia terpaksa dibatalkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia mengalami kerugian kerana lembu tidak terjual.

"Saya pun tidak tahu nak kata macam mana, rugi itu sudah tentu. Tahun lepas proses sembelih juga dibuat di rumah sembelihan, tetapi tahun ini masjid batalkan tempahan atas alasan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Kalau yang ada lembu banyak mungkin tak terasa, tapi kalau yang secara kecil-kecilan, memang rugi kerana lembu tak boleh jual.

"Penternak seperti kami hanya jual lembu pada musim Hari Raya saja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan ketetapan baharu, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan hanya dibenarkan melaksanakan ibadah korban di rumah sembelihan.

Seorang lagi penternak yang mahu dikenali sebagai Munir, 38, berkata, ada beberapa rakan penternak berdepan isu pembatalan tempahan oleh masjid ekoran SOP.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memang memberi kesan kepada kami.

"Saya juga berdepan isu pembatalan daripada badan bukan kerajaan (NGO) kerana masalah SOP serta kesukaran untuk merentas negeri," katanya yang mengusahakan ternakan lembu di Kampung Indah di Banting, Selangor.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, untuk tahun ini ibadah korban di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Masjid Jawi di bawah program Musaadah Perdana Ibadah Korban.

Menurutnya, ketetapan yang dibuat adalah untuk menyelaraskan ibadah korban sesuai dengan SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, proses penyembelihan binatang korban, lapah, potong dan pembungkusan daging korban hanya dilaksanakan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut penyelarasan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui Pejabat-Pejabat Pentadbiran Zon.

"Ketetapan ini diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.

"Pengagihan dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin berdasarkan senarai nama yang ditetapkan, petugas barisan depan dan golongan sasaran," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang selain masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jawi dan Pejabat Kesihatan Daerah dengan had kapasiti sembelihan korban tidak melebihi lima ekor sehari dan bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang.

Katanya, pihaknya mengambil maklum mengenai kerugian dialami penternak, namun keputusan untuk melaksanakan ibadah korban seperti ditetapkan dibuat selepas perbincangan pelbagai agensi.

"Kita selaraskan ibadah korban di masjid dan surau, tetapi jika NGO atau persatuan penduduk ingin melaksanakan korban, dan bekalan lembu itu daripada mana, kita tidak ada masalah.

"Pengerusi masjid sudah pun dimaklumkan mengenai ketetapan ini dan kita berharap ia berjalan lancar dan segala SOP ditetapkan dipatuhi demi kebaikan bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 2:13 PM