ABDUL HALIM TAWIL
ABDUL HALIM TAWIL
BERNAMA

PELAKSANAAN ibadah korban sempena Aidiladha yang dijangka disambut 31 Julai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah dibenarkan di Melaka, kata Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Bagaimanapun katanya, ibadah korban itu hanya dibenarkan diadakan di lokasi ditetapkan antaranya Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta dilesenkan DVS, serta masjid, surau, kawasan awam dan persendirian yang diluluskan DVS.

Katanya, tiada ibadah korban dibenarkan dilakukan di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Zon Merah.

"Ibadah korban itu hendaklah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, selain petugas adalah warganegara yang sihat dan tidak bergejala, dengan setiap seekor lembu dan kerbau dilakukan 10 orang manakala setiap seekor kambing dilakukan oleh empat orang.

"Proses lapah dan keratan pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat lapang, tidak menyebabkan kesesakan dan penganjur hendaklah memastikan bilangan korban bersesuaian dengan keupayaan petugas yang dilantik," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Palah di sini hari ini.

Halim berkata pengagihan daging korban kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin perlu melalui penghantaran secara langsung dari rumah ke rumah dan tiada pengambilan agihan di tempat sembelihan.

Sementara itu, 54 premis di negeri ini diberikan surat kebenaran sementara bagi melaksanakan ibadah solat Jumaat meliputi surau-surau di kampung dan taman, sekolah, institusi pengajian tinggi dan kuarters kerajaan selepas 200 masjid dan surau diberikan kebenaran untuk solat Jumaat pada permulaan PKPP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:18 PM