Izham (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin (dua dari kanan), Wan Razly (kiri), serta Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Agil Natt (tengah) meninjau Interceptor 002 pada Majlis Penerimaan Penajaan Kumpulan Affin di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Izham (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin (dua dari kanan), Wan Razly (kiri), serta Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Agil Natt (tengah) meninjau Interceptor 002 pada Majlis Penerimaan Penajaan Kumpulan Affin di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Kumpulan Affin komited menyokong usaha pembersihan dan pemulihan Sungai Klang dengan kerjasama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, bagi tujuan itu, Affin Group berbesar hati menaja kos operasi pembersihan Sungai Klang, yang dilaksanakan oleh Interceptor 002.

"Affin Group sangat komited dalam usaha membersihkan dan memulihkan Sungai Klang daripada sampah sarap terutamanya pencemaran akibat sampah plastik.

"Hari ini, kita boleh lihat pencemaran air akibat sampah sarap sangat teruk, sebagaimana Yang Berhormat Izham maklumkan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) bekerja keras dari tahap kebersihan sungai kelas lima dan hari ini sudah meningkat ke tahap kelas tiga.

"Dengan usaha luar biasa ini, mungkin suatu hari (sungai ini) berada di tahap kelas satu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Penerimaan Penajaan daripada Kumpulan Affin bagi menyokong Inisiatif Pembersihan Sungai Klang di bawah Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) jeti Taman Awam Pangkalan Batu di sini, hari ini.

Di majlis sama, Wan Razly bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Izham Hashim menyelusuri Sungai Klang, serta meninjau operasi Interceptor 002 berhampiran jeti berkenaan.

Wan Razly berkata, meskipun usaha sama kerja pembersihan Sungai Klang ini yang pertama bagi Affin Group, namun pihaknya merancang untuk meneruskannya pada masa hadapan.

Sementara itu, Izham merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Affin yang menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha pemulihan Sungai Klang bersama kerajaan negeri Selangor.

Untuk rekod, Interceptor adalah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sampah terapung dan dibuang ke dalam sungai sebelum ia sampai ke laut.

Selain Interceptor 002 mula beroperasi pada Ogos 2019, diikuti dengan Interceptor 005 yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 1:06 PM