Oleh Norzamira Che Noh


SUNGAI Klang berpotensi menjadi sumber bekalan air baharu untuk Selangor selepas kualiti air di sungai itu menunjukkan peningkatan yang baik.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tahap kualiti air di sungai berkenaan kini berada di tahap tiga dan selamat untuk aktiviti sukan air.

"Saya juga sudah berbincang mengenai perkara ini bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air dan sekiranya tiada apa-apa masalah, saya mungkin akan mengumumkan perkara ini di sesi Belanjawan 2021.

"Sumber air dari Sungai Klang dijangka dapat mengeluarkan air terawat 1,000 juta liter sehari (JLH) untuk kegunaan penduduk di negeri ini," katanya pada sidang media sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor di Bangunan SUK, hari ini.

Beliau berkata, kualiti air di tahap tiga sudah sesuai untuk diproses sebagai air terawat bagaimanapun ia memerlukan kos yang agak tinggi.

Justeru, kerajaan negeri akan menunggu sehingga ia berada di tahap satu atau dua.

Jelasnya lagi, kerja pembersihan Sungai Klang oleh The Ocean Cleanup menjadi pendorong kepada peningkatan kualiti air di sungai itu.

"Sebelum ini, jentera pembersihan itu mengutip kira-kira 10,000 kilogram (kg) sampah setiap hari dan kini jumlah sudah berkurangan kepada 4,000 kg.

"Selangor kini bergantung kepada dua sumber air iaitu di Sungai Selangor dan Sungai Langat," katanya.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan sepanjang Jun hingga awal bulan ini, lima insiden pencemaran yang boleh menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) henti tugas dapat dielakkan menerusi pelaksanaan operasi pemantauan 24 jam Ops Sumber Air.

"Menerusi operasi yang diketuai oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sebanyak 20 lokasi sensitif sumber air termasuk kawasan tadahan air empangan, rizab sungai dan kawasan perindustrian yang berisiko," katanya.

Sidang media Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 Peringkat Negeri Selangor di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Sidang media Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 Peringkat Negeri Selangor di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 4:53 PM