Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Sindiket pengedaran dadah berselindung di sebalik perniagaan menjual pakaian 'bundle' di sebuah rumah kedai tiga tingkat Bukit Mertajam, dekat sini, terbongkar apabila premis terbabit diserbu polis dalam empat siri serbuan berasingan bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) itu turut berjaya menahan lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 22 hingga 55 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti mengedar syabu dan ganja.

"Dalam serbuan pertama polis menahan seorang mekanik berusia 47 tahun di tempat penginapan di daerah SPT dan merampas syabu seberat 1,055 gram bernilai RM37,980.

"Susulan penangkapan itu, polis melakukan tiga lagi serbuan di dua premis yang berada berdekatan antara satu sama lain dan menahan lima lagi suspek serta menemukan 23 bungkusan syabu bernilai RM575,755," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, hasil siasatan dijalankan terhadap seorang daripada suspek mendedahkan terdapat stor penyimpanan ganja di rumah kedai berkenaan dengan sebanyak 144 ketulan mampat ganja bernilai RM365,625 berjaya dirampas dalam operasi berakhir pukul 3 pagi semalam.

Katanya, bekalan ganja berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Selatan Thailand dan rumah kedai itu disewa RM1,500 sebulan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif methampetamine, morfin dan tetrahydrocannabinol (THC). Semua tangkapan direman selama tujuh hari bermula 25 April lalu hingga 1 Mei ini.

"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kenderaan dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM1.02 juta," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 5:53 PM