Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pasangan kekasih didapati menjadikan bahagian dapur rumah tiga tingkat di Bukit Gambir di sini, sebagai makmal memproses pil ekstasi.

Kegiatan pasangan itu terbongkar selepas keduanya bersama dua lagi lelaki ditahan polis dalam tiga serbuan bermula 5 petang Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Pinang di sini, sekali gus membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga peniaga durian.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan dalam serbuan itu, polis merampas pil Erimin 5, serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ketamin, ganja serta pil ekstasi.

Susulan itu, polis menahan dua lagi lelaki termasuk dalang utama berusia 42 tahun dalam sebuah Nissan Sentra selain merampas sejumlah pil Erimin 5.

"Serbuan terakhir di sebuah rumah teres tiga tingkat di kawasan Bukit Gambir dan membawa kepada penemuan makmal memproses pil ekstasi di dapur kediaman itu.

"Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang wanita warga asing berusia 32 tahun yang juga kekasih kepada dalang utama sindiket ini," katanya ketika sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, pihaknya merampas mesin dan peralatan menghasilkan pil ekstasi.

Katanya, polis juga merampas 1,470 biji pil Erimin 5, serbuk MDMA seberat 6.2 kilogram, syabu (23 gram), ketamin serta ganja dalam serbuan terbabit.

"Turut disita ialah sebuah kereta jenis Honda City serta barang kemas.

"Keseluruhan dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM398,352, manakala hasil sitaan pula berjumlah RM28,340," katanya.

Menurut Mustafa Kamal, siasatan awal mendapati peniaga barangan antik serta kekasihnya menghasilkan pil ekstasi itu untuk pasaran tempatan.

"Dalang utama sindiket itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah serta didapati positif dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mustafa Kamal (tengah) melihat hasil rampasan dalam serbuan di Sungai Pinang dan Bukit Gambir, Georgetown ketika sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini. Foto Mikail Ong
Mustafa Kamal (tengah) melihat hasil rampasan dalam serbuan di Sungai Pinang dan Bukit Gambir, Georgetown ketika sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini. Foto Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 12:35 PM