Kamarulzaman menunjukkan ruang simpanan dadah. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Kamarulzaman menunjukkan ruang simpanan dadah. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Muhaamad Hafis Nawawi


SINDIKET penyeludupan dan pengedaran dadah ganja didalangi Geng Mail tumpas selepas polis menahan lima orang dan merampas 116 ketulan mampat ganja seberat 115.6 kilogram bernilai RM302,000 dalam tiga serbuan, kelmarin.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, serbuan itu dijalankan hasil maklumat dan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand sebulan lalu susulan penahanan ahli sindiket terbabit di negara jiran.

Menurutnya, serbuan itu diadakan di tiga lokasi di Alor Setar dan Permatang Pauh, Pulau Pinang bermula 7 pagi hingga 1.40 tengah hari dengan menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 31 hingga 65 tahun.

“Serbuan pertama kita menahan lelaki dan wanita di persimpangan lampu isyarat Tanjung Musang di mana pemeriksaan di dalam kereta Toyota Harrier dinaiki mereka menemui 90 ketulan mampat dadah disyaki ganja yang disembunyikan di tempat simpanan khas di bahagian belakang.

“Semakan juga mendapati lelaki terbabit memiliki rekod lampau rogol dan curi. Namun, hasil ujian saringan air kencing negatif dadah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Kamarulzaman berkata, susulan itu, pihaknya membuat serbuan kedua di Jalan Langgar dan menahan seorang lelaki dan seorang wanita bersama sebuah kereta Perodua Myvi, namun tidak menemui sebarang barang larangan.

“Siasatan lanjut kita kemudian menahan ketuanya berusia 65 tahun di sebuah rumah di Permatang Pauh, Pulau Pinang bersama 26 ketulan mampat ganja.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah ganja dan memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, turut disita kenderaan suspek bersama barangan kemas bernilai RM22,000 di mana siasatan awal mendapati dadah ini diperoleh dari negara jiran.

“Ganja ini untuk pasaran tempatan dari utara hingga ke selatan di mana sekiranya terlepas ke pasaran gelap boleh disalahgunakan oleh 150,000 penagih.

“Mereka direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:49 PM