PATI yang ditahan Batalion 4 PGA semalam. FOTO ihsan PGA
PATI yang ditahan Batalion 4 PGA semalam. FOTO ihsan PGA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tiga lelaki dipercayai tekong darat yang berperanan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Benteng Covid semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, mereka terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang rakyat tempatan berusia 28 hingga 39 tahun.

Katanya, pihaknya menahan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui seorang lelaki dan empat wanita Rohingya berumur 14 hingga 19 tahun.

"Mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini menerusi jalan tidak diwartakan.

"Tangkapan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihaknya turut merampas dua kenderaan dan telefon bimbit pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM52,500.

Menurutnya, mereka yang ditahan akan menjalani ujian saringan Covid-19.

"Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 12:30 PM