Amirul Aiman Hamsuddin


TINDAKAN lelaki warga tempatan cuba merasuah anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) mengundang padah apabila ditahan di Jalan Parit Changkat, Sabak Bernam, semalam.

Menerusi Op Benteng Covid-19 itu, turut ditahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 47 tahun bersama seorang kanak-kanak, seorang wanita dan 9 lelaki dipercayai warga Indonesia yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) .

Difahamkan, kanak-kanak itu berusia 5 tahun, manakala wanita dan 9 lelaki pula berusia 24 hingga 34 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 44 tahun di kawasan terbabit selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil siasatan mendapati dua lelaki terbabit dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan dengan membawa Pati keluar dari negara ini.

"Malah, mereka cuba merasuah anggota dengan menawarkan wang tunai RM 4,000 namun tidak berjaya dan kemudian ditahan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Zulafendy berkata, pihaknya merampas dua kereta, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Indonesia berjumlah RM 17,835.42.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 84,516.42.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 11:49 AM