SEBAHAGIAN daripada 14 PATI ditahan pasukan rondaan Batalion 4 PGA Semenyih di Pantai Redang, Bagan Sekinchan, Selangor, tengah malam tadi. FOTO ihsan PGA.
SEBAHAGIAN daripada 14 PATI ditahan pasukan rondaan Batalion 4 PGA Semenyih di Pantai Redang, Bagan Sekinchan, Selangor, tengah malam tadi. FOTO ihsan PGA.
Mohd Azam Shah Yaacob


CUBAAN 14 warga Indonesia menyeludup masuk dipercayai untuk bekerja secara haram di negara ini gagal apabila dicekup pasukan petugas Op Nyah 1, Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, 12.15 tengah malam tadi.

Pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 56 tahun itu dicekup ketika berada di kawasan pesisir Pantai Redang, Bagan Sekinchan, Selangor.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA ,Superintendan Zulafendy Hassan berkata, ketika pasukan itu melakukan rondaan, mereka mendapat maklumat mengenai kehadiran sekumpulan warga asing baru mendarat di Pantai Redang.

Katanya, pasukan berkenaan meninjau ke lokasi sebelum menemui 11 lelaki dan tiga wanita dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, semua warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Siasatan lanjut mendapati mereka mengaku sebagai warga Indonesia dan menyeludup masuk untuk bekerja ke negara ini menggunakan jalan laut dengan menaiki bot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua warga asing berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit atau pas sah serta masuk ke negara ini secara haram mengikut laluan tidak diwartakan.

Katanya, semua warga asing berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 7:41 PM