FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Jana pendapatan 'duit haram' melalui kegiatan jenayah menghantar dan mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) yang keluar atau masuk ke negara ini.

Itu kegiatan dilakukan seorang lelaki tempatan yang akhirnya berjaya diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati aktif dalam aktiviti penyeludupan migran.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 8.20 malam tadi, sepasukan anggota Batalion 6 PGA berjaya menahan semua suspek di dalam sebuah kereta di tepi jalan besar Jalan Kundang, Tanjung Sepat di sini.

"Siasatan mendapati, seorang lelaki tempatan berperanan sebagai 'tukang hantar' bersama tiga lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Siasatan juga mendapati, lelaki tempatan itu menyediakan khidmat pengangkutan darat kepada PATI yang

ingin keluar dan masuk ke negara ini melalui jalan laut tidak diwartakan.

"Hasil siasatan ke atas lelaki tempatan itu, polis melakukan serbuan kedua dan berjaya menangkap seorang lagi lelaki warganegara Indonesia di tepi jalan Kundang 2, Taman Seri Kundang," katanya.

Rozasin berkata, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal Yamaha, tiga telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM 3,800.

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:37 PM