Ismail Othman (kiri) bersama Noor Effandi Ahmad menunjukkan risalah pertandingan pidato di Pejabat TYT Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Ismail Othman (kiri) bersama Noor Effandi Ahmad menunjukkan risalah pertandingan pidato di Pejabat TYT Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Kerajaan negeri bersama Kementerian Perpaduan Negara menganjurkan Pertandingan Pidato Kenegaraan peringkat kebangsaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64 tahun ini.

Pertandingan merebut piala Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam itu bertemakan Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan Dan Kestabilan Rakyat yang dianjurkan bersama Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka serta Institut Tun Perak yang bertindak sebagai urusetia pertandingan.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ismail Othman berkata, pertandingan dinilai menerusi rakaman video peserta yang dihantar kepada pihak urusetia untuk diadili.

Beliau berkata, setiap peserta perlu merakam video pidato mereka menerusi teks yang dihasilkan sendiri dengan penekanan hujah berkisar kepada prinsip kedua rukunegara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Katanya, setiap peserta dibenarkan menyertai satu kategori dengan setiap rakaman video berdurasi lima hingga 10 minit.

"Penganjuran kali ini adalah susulan kejayaan pelaksanaan pertandingan peringkat negeri tahun lalu dengan penyertaan lebih 300 peserta.

"Untuk tahun ini, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan awam, selain kategori terbaharu iaitu bukan Melayu," katanya pada sidang media bersama Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kategori bukan Melayu diperkenalkan tahun ini selepas seorang peserta bukan Melayu daripada sebuah IPT tempatan terpilih sebagai johan pertandingan tahun lalu.

Katanya, ia membuktikan pertandingan itu diterima bukan saja dalam kalangan orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu.

" Kami perluaskan lagi penyertaan demi memastikan semangat cintakan tanah air sentiasa tersemat dalam hati dan sanubari rakyat Malaysia.

"Pertandingan bermula 5 Julai lalu dan berakhir pada 31 Julai ini dan rakaman video hendaklah dihantar kepada pihak urusetia menerusi atas talian yang boleh dirujuk kepada laman Facebook Institut Tun Perak," katanya.

Sementara itu, Noor Effandi berkata, pihaknya menjangkakan penyertaan kali ini akan meningkat kepada empat kali ganda selepas penyertaan dibuka untuk penduduk dari luar Melaka.

Katanya, beliau turut yakin golongan pelajar juga akan mengambil peluang untuk menyertai pertandingan ini kerana golongan terbabit lebih banyak masa menumpukan kepada aktiviti berbentuk pendidikan atas talian seperti itu.

"Pada pertandingan kali ini, kita menawarkan hadiah berupa wang tunai, hadiah iringan

yang cukup menarik dengan harapan peserta daripada semua peringkat serta kaum dapat merebut peluang dengan menyertai pertandingan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 4:19 PM