Amir Mamat


Ayer Keroh: Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam yakin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu menangani penularan Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Kata beliau, ini kerana pengalaman luas Ahli Parlimen Bera itu dalam pentadbiran kerajaan serta pengurusan pelbagai pertubuhan dan agensi, membolehkannya mentadbir negara dengan baik dan cemerlang.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu, Mohd Ali mengajak semua pihak terutama kakitangan awam untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pentadbiran Ismail Sabri bagi membolehkan hasrat membangunkan negara serta memulihkan semula ekonomi tercapai.

"Saya meminta semua lapisan masyarakat untuk terus bersatu padu, saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan bekerjasama.

"Kepada pemimpin pula, sekarang adalah masa untuk menggalas amanah untuk membangunkan sosio-ekonomi rakyat, jangan harus ada (rakyat) yang tertinggal dan ditinggalkan (dalam aspek pembangunan). Berpolitiklah secara sihat dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti tinggi, berprinsip dan bermaruah," katanya pada perutusan sempena sambutan hari lahir beliau ke-72, hari ini.

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam (kanan) Yang di-Pertua Negeri Melaka bersama isteri Toh Puan Asmah Ab Rahman (kiri) melihat hadiah yang diterima Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-72 Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Melaka di Istana Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam (kanan) Yang di-Pertua Negeri Melaka bersama isteri Toh Puan Asmah Ab Rahman (kiri) melihat hadiah yang diterima Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-72 Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Melaka di Istana Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, kestabilan kerajaan adalah tunjang kepada kemakmuran negeri dan negara, terutama apabila semua diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

"Ingatlah, kita bukan sahaja mewarisi keamanan hari ini daripada generasi terdahulu, bahkan kita sebenarnya sedang meminjamnya daripada generasi akan datang," katanya.

Mohd Ali turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepemimpinan serta anggota pentadbiran negeri kerana berusaha keras memastikan Melaka terus melakar kecemerlangan.

Tidak ketinggalan, kata Mohd Ali, penghargaan juga untuk rakyat termasuk penjawat awam, pasukan keselamatan serta kakitangan swasta yang memberikan perkhidmatan serta jasa bakti kepada pembangunan Melaka.

Terdahulu, Mohd Ali bersama isterinya, Toh Puan Asmah Abdul Rahman, memotong kek sempena sambutan hari lahir beliau.

Majlis ringkas yang penuh simbolik itu diadakan di kediaman rasmi beliau di Istana Melaka, Bukit Beruang di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:58 PM