Antara wanita yang diselamatkan JIM Sabah selepas diperdaya dijanjikan pekerjaan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan. FOTO JUWAN RIDUAN
Antara wanita yang diselamatkan JIM Sabah selepas diperdaya dijanjikan pekerjaan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Akibat termakan janji manis dan tipu daya dalang pencarian kerja kononnya menawarkan pekerjaan gaji lumayan di Timur Tengah, sembilan wanita warga Filipina menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Bagaimanapun semua mangsa berusia 25 hingga 40 tahun itu berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua serbuan berasingan di Semporna, kelmarin.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran pekan Semporna dan sebuah rumah di atas air di Kampung Terusan Hujung Batu, Pulau Bum-Bum.

"Operasi turut menahan dua lelaki serta seorang wanita warga Filipina berusia 28 hingga 40 tahun yang disyaki sebagai dalang sindiket," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Muhamad Sade berkata, mangsa mendakwa dijanjikan pekerjaan menarik di kawasan negara Timur Tengah terutamanya Jordan dan Dubai.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dikenakan bayaran sehingga mencecah RM13,000 bagi setiap perkhidmatan," katanya.

Muhamad Sade berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Papar manakala mangsa ditempatkan di Pusat Pelindungan Wanita Kota Kinabalu.

"Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari lima belas (15) tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya," katanya.

Muhamad Sade berkata, semua mangsa dan suspek ditahan akan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid- 19.

Katanya, ia bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, JIM Sabah menyeru orang ramai supaya melaporkan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia dengan berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan.

Katanya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan migran.

#kw wanita, Filipina, pemerdagangan, orang, kerja, timur tengah, JIM, Sabah, Semporna

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 2:00 PM