GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seramai 12 lagi kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dikesan positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 42 orang dijangkiti wabak itu sehingga hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kesemua kakitangan berkenaan berada dalam kategori satu dan dua sekali gus sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

"Kita belum dapat mengesahkan sama ada kakitangan yang dijangkiti ini, membabitkan varian Delta, varian Beta atau varian lama.

"Cuma 12 kakitangan yang baru dikesan positif Covid-19 hanya dikuarantin di rumah kerana berada pada kategori satu dan dua sahaja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rabu lalu, portal Harian Metro melaporkan 30 kakitangan HSAH didapati positif Covid-19 dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dipetik berkata, kakitangan terbabit meliputi doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital itu.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati ketika dihubungi pula berkata, keadaan kakitangan yang baru dikesan mendapat jangkitan berkenaan tidak membimbangkan.

Katanya, kawalan secara agresif sedang dilakukan di HSAH bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di hospital berkenaan.

"Operasi pembedahan tertentu ditangguhkan dan akan dijadualkan semula, namun kes kecemasan di Jabatan Kecemasan masih beroperasi seperti biasa.

"Keadaan di HSAH terkawal dengan kerja sanitasi wad dan pembersihan terminal Jabatan Kecemasan dilakukan secara berperingkat sejak beberapa hari lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 4:55 PM