Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merekodkan 18 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19 antara tempoh 25 hingga 31 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, bagi tempoh sama juga, sebanyak 31 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan di negeri itu.

Menurutnya, kes BID berkemungkinan berlaku kerana pesakit lambat mendapat rawatan atau pesakit dijangkiti Covid-19 tiada gejala.

"Situasi ini amat membimbangkan dan dirumitkan lagi dengan kehadiran varian baharu virus seperti Beta dan Delta yang lebih cepat merebak dan lebih teruk.

"Varian ini bukan sahaja membahayakan golongan warga emas dan berisiko tinggi, malah ke atas golongan muda berusia bawah 40 tahun," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, bagi tempoh sama sebanyak 8,370 kes baharu Covid-19 dilaporkan dengan 4,170 kes adalah membabitkan saringan kontak rapat dan 1,795 kes adalah kes dalam kluster yang aktif.

Menurutnya, baki kes pula dikesan melalui saringan seperti saringan bergejala, bersasar, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), orang kena tahan (OKT), penjara dan pra-operasi.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati memaklumkan masih terdapat kira-kira 20 peratus penduduk Kedah yang layak menerima vaksin belum mendaftar menerima suntikan berkenaan.

"Sehingga semalam, seramai 577,148 daripada lebih 1.54 juta individu dewasa berusia 18 tahun ke atas sudah mendapat satu dos vaksin manakala 298,611 individu lengkap dua dos suntikan.

"Dijangkakan pada penghujung Ogos ini, kira-kira 40 peratus penduduk Kedah yang layak divaksin akan menerima vaksin lengkap," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:47 PM