Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Keadaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani masih terkawal dengan kerja sanitasi wad dan pembersihan terminal Jabatan Kecemasan sudah dilakukan secara berperingkat sejak semalam.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berikutan itu, orang ramai diminta mendapatkan rawatan di hospital dan klinik berdekatan lain kecuali kes kecemasan masih boleh ke HSAH.

"Pihak hospital sedang menjalankan pembersihan terminal di jabatan kecemasan secara berperingkat dengan zon hijau di jabatan itu juga ditutup sementara.

"Pesakit dinasihat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat kecuali kes kecemasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 30 kakitangan HSAH Sungai Petani didapati positif Covid-19 dipercayai membabitkan penularan varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan.

Kakitangan hospital yang positif terbabit terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hanya kakitangan HSAH yang berada pada kategori tiga dan empat dirawat di hospital berkenaan, manakala selebihnya dikuarantin di rumah.

"Sekiranya mereka (kakitangan HSAH) berada dalam kategori tiga dan empat, mereka akan dimasukkan ke wad, jika kategori satu dan dua, mereka hanya perlu kuarantin di rumah.

"Sebenarnya jumlah kakitangan yang positif terkawal dan tidak seramai seperti yang ditularkan sehingga 100 orang, namun apabila ia membabitkan kakitangan hospital yang positif, ia jadi heboh kerana ia menjadi tempat tumpuan orang ramai," katanya ketika dihubungi.

Dr Mohd Hayati berkata, buat sementara waktu dalam tempoh dua minggu ini, kes bukan kecemasan akan dirujuk ke hospital daerah lain seperti Hospital Yan, Hospital Kulim, Hospital Baling dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Katanya, bagi kes kecemasan pula, pesakit masih boleh dirujuk ke HSAH berikutan kebanyakan wad sudah disanitasi.

"Wad sudah disanitasi dan tiada masalah, khidmat pandu lalu bagi mendapatkan ubat-ubatan atau bersalin masih dibenarkan di HSAH.

"Cuma setakat ini, kes dari hospital lain tidak akan dirujuk ke HSAH. Kes itu akan dirujuk ke hospital lain antaranya HSB Alor Setar," katanya.

Beliau berkata, keadaan dijangka akan pulih selepas dua minggu dan HSAH akan beroperasi seperti biasa selepas ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 1:22 PM