GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Alor Setar: Sebanyak 18 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) membabitkan pesakit Covid-19 direkodkan di negeri ini bagi tempoh seminggu sejak 25 hingga 31 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah itu membabitkan 58 peratus daripada 31 kes kematian akibat wabak itu bagi tempoh sama.

Beliau berkata, kes BID itu berkemungkinan berlaku kerana pesakit lambat mendapatkan rawatan atau pesakit tidak menunjukkan gejala dijangkiti Covid-19 sekali gus situasi tersebut amat membimbangkan.

"Ia dirumitkan lagi dengan kehadiran varian baharu Covid-19 seperti Beta dan Delta yang lebih cepat merebak dan lebih teruk. Virus ini bukan sahaja membahayakan golongan warga emas dan berisiko tinggi malah golongan muda berumur bawah 40 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati berkata, kes positif Covid-19 di negeri ini menunjukkan trend peningkatan yang sangat ketara sejak beberapa minggu lepas dan dijangka berterusan minggu ini.

Beliau berkata hingga Sabtu lepas, seramai 577,148 (37.5 peratus) daripada 1,540,600 golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas di Kedah menerima satu dos vaksin Covid-19 manakala 298,611 (19.4 peratus) telah melengkapkan dua dos suntikan.

"Dijangkakan pada penghujung bulan ini, kira-kira 40 peratus warga Kedah yang layak divaksin akan menerima vaksin lengkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 3:25 PM