TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan 28 kes baharu varian Covid-19 yang berlaku di 10 negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, survelan bagi tempoh 23 Jun sehingga semalam mengesan 18 kes Delta (B.1.617.2); lima kes varian Beta (B.1.351); tiga kes varian Kappa (B.1.617.1) dan dua kes varian Alpha (B.1.1.7).

"Kes varian Delta (B.1.617.2) yang dilaporkan merangkumi empat kes di Kuala Lumpur; masing-masing tiga kes di Labuan dan Negeri Sembilan manakala masing-masing dua kes di Pahang, Sabah, Melaka serta Kedah.

"Selain itu, dua kes baharu bagi varian Beta (B.1.351) pula dikesan di Pahang dan masing-masing satu kes di Melaka, Terengganu serta Selangor.

"Tiga kes baharu varian Kappa (B.1.617.1) dikesan di Johor, manakala dua kes varian Alpha (B.1.1.7) dikesan di Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehingga semalam, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes dijangkiti Covid-19 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mendapat perhatian (VOI) ialah sebanyak 217 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 198 kes dikategorikan sebagai VOC dan 19 kes dikategorikan sebagai VOI.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:56 PM