GAMBAT hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAT hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di masjid serta surau mulai esok dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 100 orang (tidak termasuk pegawai dan jawatankuasa masjid) dengan syarat jemaah terpilih sudah menerima suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran kehadiran jemaah dengan jumlah itu hanya membabitkan zon hijau, kuning dan jingga mengikut mukim berdasarkan peta kes harian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

Katanya, bagi mukim zon merah, kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang iaitu terdiri daripada mereka sudah menerima suntikan vaksin.

"Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, hanya lima orang dibenarkan untuk menunaikan solat fardu berjemaah terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid. Bagi solat Jumaat hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan solat Zohor di rumah.

"Jawatankuasa masjid dan surau perlu menentukan kaedah yang bersesuaian dalam pemilihan ahli kariah yang layak hadir menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dan memastikan jemaah terpilih sudah menerima vaksin dengan mengemukakan sijil suntikan vaksin," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pemilihan jemaah selain pegawai masjid dan jawatankuasa kariah diutamakan kepada mereka yang sudah lengkap menerima vaksin atau sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Katanya, hanya jemaah yang terdiri daripada ahli kariah yang bermastautin sahaja dibenarkan hadir menunaikan solat di masjid dan surau dan kehadiran jemaah dari kariah lain tidak dibenarkan sama sekali.

"Pengurusan masjid dan surau hendaklah mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JHEAIK.

"Mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, tindakan boleh dikenakan oleh pihak berkuasa dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta," tegas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa Pejabat Agama Daerah boleh menarik balik kelonggaran ini sekiranya terdapat kes Covid-19 dalam kalangan jemaah yang menjadi kontak rapat kes positif.

Katanya, sebagai amalan pencegahan, pengurusan masjid dan surau hendaklah memastikan agar peredaran udara yang lancar di kawasan ruang solat masjid dan membuka pintu dan tingkap ketika aktiviti solat berjemaah dilaksanakan selain mengelakkan ruang terkurung.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:55 PM