GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Had solat fardu Jumaat di masjid serta surau Jumaat di Johor ditingkatkan mengikut kapasiti 1/4 keluasan bangunan bermula esok.

Ia berbanding hanya 50 jemaah yang dibenarkan sebelum ini.

Manakala had solat berjemaah lima waktu dan solat jenazah di masjid serta surau jumaat di negeri ini turut ditingkatkan kepada 50 jemaah berbanding hanya 20 orang sebelum ini, manakala surau kariah pula kekal tidak melebihi 20 jemaah.

Bagaimanapun, kehadiran jemaah termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau selain jemaah lain yang hadir ke masjid atau surau, perlulah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin, hari ini.

"Berkuatkuasa 12 Ogos ini iaitu esok, solat fardu Jumaat di masjid dan surau Jumaat negeri ini adalah mengikut kapasiti 1/4 bangunan dengan penjarakan fizikal.

"Bagi solat fardu lima waktu dan solat jenazah pula, masjid dan surau Jumaat dibenarkan seramai 50 jemaah manakala surau kariah kekal dengan 20 jemaah. Bilangan jemaah adalah termasuk ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

"Sekiranya kapasiti atau jumlah jemaah masjid dan surau masih mempunyai kekosongan pada solat fardu Jumaat atau solat fardu lima waktu serta solat jenazah, maka boleh diberikan kebenaran kepada mereka yang sudah menerima satu dos suntikan vaksin," katanya.

Pengumuman prosedur standard operasi (SOP) baharu bagi solat fardu Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat jenazah itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Menurut kenyataan itu, mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat, hendaklah menunaikan solat fardu Zohor di rumah masing-masing.

"Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat membeli belah, pusat rekreasi ketika waktu solat jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam.

"JAINJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau. Masjid dan surau yang didapati melanggar SOP hendaklah ditutup,"kata kenyataan itu.

Bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP.

"Kehadiran semasa pengebumian jenazah adalah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 50 orang tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 3:52 PM