FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri ini dimansuhkan kecuali daerah Kulim mulai esok.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, semua masjid dan surau hanya akan dibuka sejam sebelum waktu solat fardu berjemaah dan 1 jam 30 minit sebelum solat Jumaat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, bilangan jemaah bagi melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid negeri, masjid kariah, masjid institusi dan surau adalah berdasarkan keluasan masjid dan surau berkenaan dengan penjarakan fizikal minimum satu meter.

"Jemaah hendaklah mengambil wuduk di rumah, namun dibenarkan memperbaharuinya di masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

"Selain itu, jemaah hendaklah membawa sejadah masing-masing dan sekiranya jemaah tidak membawa sejadah, pihak masjid dan surau hendaklah mengarahkan jemaah terbabit beredar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri, berkata semua program keagamaan dan majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, kelas agama, tazkirah sebelum Jumaat dan sebagainya di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan mematuhi norma baharu dan protokol kesihatan serta sebarang ketetapan yang digariskan oleh pihak berkuasa.

Katanya, majlis akad nikah serta pengurusan jenazah (bukan Covid-19) di masjid juga dibenarkan.

"Solat jenazah hanya terhad kepada anak kariah serta ahli keluarga si mati saja dan aktiviti ziarah kubur dibenarkan.

"Bagaimanapun aktiviti kemasyarakatan di masjid dan surau seperti kenduri, gotong royong dan sebagainya masih tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, jemaah bukan warga negara dibenarkan untuk berjemaah di masjid termasuk kanak-kanak dengan pengawasan ibu bapa atau penjaga tertakluk kepada ketersediaan ruang masjid atau surau serta pertimbangan jawatankuasa kariah atau surau.

Katanya, mana-mana masjid dan surau yang melanggar dan tidak mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 9:04 PM