Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tiada solat Jumaat di masjid, sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing bagi kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah di negeri ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, keputusan itu dibuat melalui titah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas mempertimbang sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

"Bagaimanapun, solat berjemaah pada setiap solat fardu di zon merah boleh dilaksanakan di masjid serta surau dengan had ditetapkan kepada enam jemaah yang terdiri daripada pegawai masjid serta ahli jawatankuasa kariah (JK)," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi solat Jumaat serta solat fardu di kawasan zon kuning, bilangan jemaah dihadkan kepada 23 orang Ahli Jumaat yang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli JK.

"Bagi kawasan zon hijau pula, had ditetapkan kepada 40 jemaah bagi kedua-dua solat, dengan kelonggaran turut diberikan kepada ahli kariah. Jemaah lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

"Penggunaan masjid dan surau diri Jumaat untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu, hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM," katanya.

Shahrul Azam berkata, bagaimanapun, laungan azan pada setiap kali solat hendaklah diteruskan seperti biasa tanpa sebarang pindaan kalimah, namun hendaklah disusuli dengan pengumuman selepas azan bagi menyarankan ahli kariah mendirikan solat berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing.

Katanya lagi, semua aktiviti keagamaan selain solat di masjid serta surau dalam kawasan zon merah ditangguhkan, manakala penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan Isyak, serta selepas solat Subuh dibenarkan pada skala kecil bagi zon kuning serta zon hijau.

"Kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warga Malaysia dengan identiti setiap jemaah hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 9:18 AM