GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadualkan bersambung hari ini, dilapangkan selepas peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 minggu lalu.

Peguam Rahmat Hazlan, yang turut mewakili bekas perdana menteri itu, memaklumkan bahawa perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguh sehingga 17 Ogos depan.

"Betul, Tan Sri (Shafee) sedang kuarantin kendiri kerana beliau ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19," katanya melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, ketika dihubungi, turut mengesahkan penangguhan perbicaraan itu.

Kes itu ditetapkan untuk sambung bicara sejak 29 Jun lalu namun ditangguhkan. Kali terakhir perbicaraan kes 1MDB didengar ialah pada 27 Mei.

Seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-10 iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, apabila perbicaraan bersambung.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 5:59 PM